MAKALAH TERBAIK

Muqaddimah

Dalam realiti kini aktiviti-aktiviti maksiat telah dimanipulasikan menjadi simbol kemajuan dan kemodenan. Manusia yang bernama muslim tidak lagi berkesempatan untuk berfikir amal baik apakah yang perlu dipersiapkan untuk hari esok. Mereka sering berfikir aktiviti leka apakah yang hendak dilakukan untuk menghabiskan masa siang dan malam. Rata-rata yang mengaku muslim dibelenggu oleh nafsu syaithan. Keperibadian mereka larut dalam budaya dan cara hidup barat.

Musuh Islam yang sentiasa bekerja keras

Musuh Islam dari barat, secara terus menerus dan agresif, menanamkan nilai-nilai dan budaya jahiliyyah ke dalam jiwa umat Islam. Jiwa umat Islam dipupuk supaya merasai ‘rendah diri’ . Dengan da’yah yang sistematik, misalnya melalui media cetak dan elektronik, ditanamkan satu pandangan bahawa apa-apa yang datang dari Islam adalah kuno dan tidak sesuai dengan zaman. Atau pun, apa yang datang dari Islam dianggap ganas dan ekstrim. Sedangkan apa yang datang dari barat dianggap baik, maju dan moden.

Tidak sedikit umat Islam di pelbagai belahan bumi telah merasa asing terhadap nilai-nilai Islam dan cara hidupnya. Pada masa yang sama, mereka berjinak dengan cara atau gaya hidup barat. Bahkan, lebih jauh dari itu, umat Islam merasa bangga dengan budaya barat. Perhatikanlah dalam realiti kini, siapakah yang memenuhi panggung-panggung wayang? Siapakah yang melepak dan berpeleseran di tepi-tepi bangunan membeli belah? Siapakah yang kerap berkunjung ke pusat-pusat hiburan? Siapakah yang ramai menghisap rokok? Siapakah yang ramai menagih dadah? Siapakah yang membuang anak luar nikah hidup-hidup? Siapakah yang sering menjadi ‘kutu-kutu’ malam bersama-sama dengan motosikal-motosikal mereka? Siapakah yang paling ramai tercicir dalam pelajaran? Siapakah yang paling terkehadapan menentang perlaksanaan hukum-hukum Islam? Jawapannya jelas iaitu Umat Islam.

Usaha-usaha pembaratan

Di awal usaha gerakan pembaratan ialah supaya umat Islam merasa ragu-ragu dan asing terhadap din mereka sendiri dan di hujung gerakan pembaratan ialah kristianisasi (riddah). Dengan kata lain, merosakkan aqidah umat Islam.

Antara serangan barat terhadap umat Islam adalah:

1. Menghalang tertegaknya kesatuan umat Islam dengan cara menghalang kekhalifahan Islam. Sekaligus, barat berusaha memperdalamkan perasaan kebangsaan dan kedaerahan di kalangan umat Islam.

2. Menegakkan pendidikan dengan sistem ‘co-education’ yang mencampurkan pelajar lelaki dan pelajar perempuan dalam sebuah sekolah atau dalam sebuah bilik darjah. Ini mendedahkan umat Islam kepada fitnah.

3. Melaksanakan sistem riba dalam ekonomi dan menghancurkan harta kekayaan umat Islam.

4. Memansukhkan undang-undang Rabbani yang berdasarkan syari’at Islam, dan memaksa perlaksanaan undang-undang rekaan manusia yang meruntuhkan akhlak dan menghancurkan keluarga muslim.

5. Merosakkan ikatan kekeluargaan, merobohkan nilai-nilai sosial dan meransang umat Islam mengamalkan akhlak serba boleh (tanpa batasan). Juga menggalakkan hidup berpecah-belah dan menghapuskan keperibadian insan yang soleh.

6. Memecah-belahkan daerah-daerah Islam dan menanamkan unsur-unsur asing di hati umatnya.

7. Menulis kembali sejarah Islam berdasarkan kaca mata barat yang bersifat kebendaan.

8. Membangkitkan rasa kebanggaan kedaerahan, kebangsaan dan kesukuan serta menghidupkan kembali sejarah kuno sebelum Islam.

9. Menyebarkan semangat materialisma, mengenengahkan teori darwin sebagai pintu kepada atheisma dan menanamkan rasa ragu-ragu terhadap ajaran Islam mengenai asal usul kejadian manusia menurut Al Qur’an.

10. Menyebarluaskan fahaman materialisma dalam hubungan antara manusia dan kehidupan sosial menurut teori Freud (mengenai dorongan seksual) dan teori Marxis (mengenai dorongan isi perut) serta menggambarkan manusia sebagai binatang yang dikuasai oleh nalurinya.

11. Mematikan bahasa Arab kerana ia adalah bahasa Al Qur’an.

12. Menafikan keunggulan kaum muslimin dalam sejarah peradaban manusia.

13. Memaksa manusia memahami dan meyakini falsafah-falsafah materialisma seperti dialektika, permissivisma, eksistensialisma dan materialisma. Yang mana falsafah-falsafah ini menyemarakkan perasaan dengki, hawa nafsu dan angan-angan panjang. Juga, falsafah-falsafah ini mengingkari terhadap sesuatu yang tidak dapat dijangkau oleh pancaindera (atau yang tidak dapat dibuktikan secara empirikal).

14. Mengingkari agama dengan menganggapnya sebagai perkara yang membawa kemunduran hidup dan ketinggalan dari segi kemajuan sosial. Memisahkan Islam dengan politik dan akhlak manusia. Juga, menyerang akidah Islam dan nilai-nilainya.

15. Menyebarluaskan perpecahan dan permusuhan antara agama-agama dan ras-ras manusia.

Tujuan proses pembaratan terhadap umat Islam adalah:

1. Agar kaum muslimin menerima gaya hidup barat dan jahil terhadap sistem hidup Rabbani.

2. Agar kekuatan kaum muslimin lumpuh serta tidak berupaya lagi untuk menegakkan kembali peradaban Islam dalam ertikata sebenar.

Langkah-langkah menangkis serangan barat

Untuk menangkis gerakan pembaratan terhadap umat Islam, maka antara langkah penting yang perlu diambil adalah:

1. Menyebarluaskan da’wah Islamiyyah

Da’wah Islamiyyah yang menerangkan Islam berdasarkan sumber-sumber yang muktabar perlu di utarakan kepada masyarakat melalui pelbagai wasilah yang munasabah. Ketahanan jiwa umat perlu dibina dengan wa’ Islami yang sebenar. Hati dan ‘aqal masyarakat perlu diselamatkan daripada racun yang disebarkan oleh musuh.

Satu hakikat yang tidak dapat disangkal bahawa kejayaan gerakan pembaratan selama ini adalah lantaran jiwa umat Islam yang lemah. ‘Aqal dan ruh umat kosong daripada ajaran Islam sebenar.

2. Melaksanakan Tarbiyyah Islamiyyah

Tarbiyyah Islamiyyah untuk membentuk individu-individu muslim perlu dilaksanakan melalui pelbagai program. Individu-individu muslim yang soleh adalah umpama batu bata yang akan membangunkan bangunan Islam serta mampu untuk menangkis serangan musuh-musuh Islam.

Begitu juga kurikulum Tarbiyyah Islamiyyah perlu dibina akan dapat dijalankan di sekolah-sekolah. Pelajar-pelajar dididik dalam bidang aqidah, syar’iah dan akhlak. Tarbiyyah Islamiyyah bukan sekadar menjadikan Islam sebagai pengetahuan sahaja, tetapi juga melahirkan keyakinan dan amal Islami dalam kehidupan harian.

3. Mengenengahkan Islam melalui media massa

Pekerja-pekerja Islam perlu memberi perhatian terhadap media massa. Seharusnya, pihak Islam mempunyai pusat maklumatnya sendiri yang dikendalikan oleh tenaga-tenaga mahir yang ikhlas dan mampu menyingkap pelbagai bahaya tersembunyi dalam da’yah yang disiarkan oleh musuh-musuh Islam.

4. Membina kesatuan umat Islam

Sewajarnya umat Islam berusaha ke arah kesatuan dan penyelarasan sehingga dapat berdikari dalam pelbagai bidang kehidupan. Pergantungan kepada pihak musuh, baik dalam aspek politik, ekonomi mahu pun mana-mana keperluan hidup, akan hanya mengundang kelemahan dan perpecahan. Musuh-musuh akan mengambil kesempatan daripada kelemahan dan perpecahan itu untuk campur tangan dan, seterusnya, merosakkan urusan umat Islam.

Penutup

Di samping langkah-langkah di atas diambil untuk berhadapan dengan gerakan pembaratan oleh musuh-musuh Islam, umat Islam juga perlu berwaspada dan berhati-hati dalam menerima sesuatu yang datang dari luar. Jangan terjadi, dengan beralasan kepada sikap ‘toleransi dan terbuka’, maka gerakan-gerakan yang merosakkan aqidah Islam dibiarkan begitu sahaja hingga boleh membawa kepada gejala riddah.

 

 

Cinta dan Allah Redha

  Manusia kalau tengah bercinta, orang kata macam orang yang mabuk. Dia sudah tidak kisah sekelilingnya. Dia sudah tidak kisah orang lain. Yang dia fikirkan adalah orang yang dicintainya sahaja. Orang kata, lautan api sanggup diredah, gunung everest sanggup dipanjat. Prinsip dan maruah diri sanggup digadai.

Saya berulang kali kata, saya tidak mengiktiraf itu sebagai cinta.

Pada saya, apa namanya cinta jika di akhirat nanti berbalahan? Apa namanya cinta jika di akhirat nanti kedua-duanya terhumban ke neraka? Ketika itu, baru kita tersedar bahawa cinta yang kita kata cinta itu bukan cinta sebenarnya.

Pada saya, hubungan lelaki perempuan yang boleh kita katakan cinta adalah, apabila Allah redha dengan apa yang dikatakan cinta oleh kita itu. Hubungan yang membawa ke syurga. Hubungan yang menyisih dari neraka.

Dan soalan popular yang menyusul pandangan saya ini adalah:

Bagaimana bercinta dan nak Allah redha?

Itu soalan paling popular.

Jawapan saya mudah. Masa bercinta itu, buat apa yang Allah suruh, tinggal apa yang Allah larang.

Dalam bercinta, kita dapat lihat bahawa ruang melakukan maksiat sangat banyak. Kita akan terpanggil untuk berdua-duaan, bergayut telefon berpanjangan, ingin bersama keluar makan, ingin tenung menenung bergurauan, dan 1001 macam lagi perbuatan pasangan yang belum kahwin tetapi gaya macam dah kahwin yang hari ini kita boleh lihat dan perhatikan.

Maka, hendak bercinta dalam keadaan yang Allah redha, tinggalkanlah semua itu. Jalankan cinta dengan keimanan, ketaqwaan. Rasa pengawasan yang tinggi dalam melaksanakan hak-hak Allah SWT.

Jadi macam mana cinta kita berjalan?

Mudah. Kalau sudah jatuh hati, pergi selidik dahulu latar belakangnya. Lihat profilnya macam mana. Tidak salah kalau hendak mengkaji hidupnya. Tanya kawan-kawannya. Ini untuk yang rasa nak berhati-hati memilih calon pasangan. Tetapi kalau dah suka sangat, terus terang sahaja. Hantar surat, atau cakap direct. Tak salah.

“Saya suka awak, boleh awak jadi isteri saya?” Mudah. Dosa pun tidak.

Kalau dah setuju, lihatlah keadaan. Nak bertunang dulu ke, nak bersabar dulu ke. Yang penting, selepas ungkap cinta, pergi la ta’aruf dan berkenalan degan keluarganya. Jangan lupa beritahu mak ayah supaya bina hubungan dengan keluarganya.

Kemudian, nak dating? Pergi dating dengan satu famili sekali. Rindu nak jumpa? Pergi ziarah rumah bakal mertua. Habis cerita.

Pada saya, konsep nak bercinta untuk dapat redha Allah ini mudah. Apa-apa sahaja yang membuatkan kita dengan pasangan kita ke neraka, adalah apa yang perlu kita hindari. Kita tidak mahu bergaduhan di akhira nanti, salah menyalahkan sesama sendiri.

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)” Surah Az-Zukhruf ayat 67.

Susah la…

Ah…

Ini satu ayat lagi yang keluar. Saya tidak faham kenapa susah. Saya ingin tanya, yang kata susah ni, nak apa sebenarnya? Anda tetap nak berdating dua-dua, pegang tangan, manja-manja? Konon-konon taktik ni tak romantik dan sebagainya?

Ah… Saya tak pernah kata taktik ni romantik. Nak buat macam suami isteri, lepas kahwin la. Ini saya bagi jalan, untuk bercinta sebelum kahwin. Jadi kena buat gaya sebelum kahwin la. Kalau nak sentuh-sentuh, nak dua-dua kat taman, nak bonceng motor sama-sama, lepas kahwin la.

Di sinilah yang membezakan mereka yang serius bercinta untuk redha Allah, dengan mereka yang bercinta main-main.

Orang yang faham cintanya adalah untuk mendapat keredhaan Allah SWT, akan melihat masa hadapannya jauh. Dia akan lihat bahawa dia akan jadi suami/isteri kepada orang lain, dia akan jadi ayah/ibu kepada anak-anak, dia akan jadi ketua/pembantu keluarga, dan di akhirat kelak mereka akan menjadi yang dipertanggungjawabkan atas apa yang terjadi dalam keluarga mereka.

Mereka ini, tak akan bercinta untuk seronok-seronok sahaja.

“Apakah kamu mengira, Kami menciptakan kamu sia-sia sahaja? Dan kamu kepada Kami tidak akan dikembalikan?” Surah Al-Mukminun ayat 115.

Maka, adakah dengan kefahaman ini kita yang hendak bercinta kerana Allah akan melakukan apa yang Allah tidak suka dalam perjalanan cinta kita? Malah kita akan percepatkan perkahwinan kita bagi mengelakkan banyak perkara yang Allah benci.

Kalau betul nak romantik sangat, propose la. Habis cerita.

Kemudian sambung cinta kita dengan bercinta selepas kahwin.

Tapi kalau orang tanya, bercinta sebelum kahwin itu boleh atau tidak?

Saya kata boleh. Tapi bila bercinta macam saya cakap tadi la. Selain itu, saya tak kata boleh ya.

Projek Cinta, hanya yang serius

Saya suka la nak tanya geng-geng yang bercinta ni.

Korang semua, masa bercinta ada buat plan tak? Atau terus aja i love you, you love me dan sebagainya? Ada buat perancangan ke? Ada nampak tak cinta ini macam satu projek untuk dapat redha Allah SWT? Atau bila dah suka, pakai redah aja?

Lihat firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka. Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).” Surah Al-Hasyr ayat 18-20.

Sebab itu, saya kira, ramai yang menafsirkan cinta itu buta. Saya fikir, ‘cinta buta’ itu tak termasuk dalam cinta. Pada saya, cinta itu menghidupkan dan menjelaskan. Itulah dia cinta orang yang beriman.

Bagi yang benar bercinta untuk dapat redha Allah, pastinya membuat perancangan akan cintanya. Macam mana dia nak approach, macam mana dia nak berkenalan, macam mana dia nak melamar, macam mana dia berkahwin, macam mana dia nak bina keluarganya, dengan apa dia nak sara keluarganya, dan sebagainya.

Saya tanya, siapa yang bila bercinta fikir semua ini? Ha… anda nampak beza orang serius dengan orang yang tidak serius?

Saya hairan. Kalau orang ambil peperiksaan, dan ada niat nak berjaya, mereka pulun tak boleh blah punya la. Studi sampai lewat malam. Ada yang sampai termuntah-muntah. Semata-mata nak berjaya.

Tetapi kenapa orang yang kata nak bercinta untuk dapat redha Allah, yang bercinta kerana nak bahagia dunia akhirat, tak ada perancangan, tak ada usaha yang kemas, tak mati-matian dalam menjalankan apa yang Allah nak atas jalan percintaan ini?

Saya hairan dan sangat-sangat hairan.

Sekarang saya mahu anda lihat kembali projek cinta anda.

Persembahkan projek cinta anda itu kepada Allah. Adakah anda rasa Allah akan menerimanya?

Penutup: Bercinta, diri, keluarga, masa hadapan

Dua orang yang bercinta, dan mereka fikir keseronokan diri mereka sahaja, hakikatnya mereka telah zalim kepada cinta itu, diri mereka, keluarga mereka, dan masa hadapan mereka. Mereka yang telah melangkah larangan Allah SWT dalam alam percintaan ini hakikatnya telah mencampakkan diri mereka ke arah kehancuran. Mereka telah menolak kebahagiaan.

Oh, ada yang berkata begini kepada saya:

“Saya buat yang syara’, tapi perkahwinan saya gagal. Kawan saya, dating-dating, couple-couple, tapi perkahwinan mereka sampai sekarang kekal”

Baik, berikan saya statistik kes kahwin ikut syara’ gagal dan kahwin tak syara’ berjaya, bersama dengan statistik bilangan anak luar nikah dan remaja yang jalankan seks bebas. Ya, berikan kepada saya. Jangan anda ukur sesuatu benda itu buruk dan baik hanya dengan kes-kes terpencil sahaja. Cuba anda lihat dunia sekarang yang mengalami masalah HIV dan AIDS yang tak reda-reda?

Saya tidak menilai baik itu apa yang manusia kata baik. Saya juga tidak menilai buruk itu apa yang manusia kata buruk. Saya menilai baik itu apa yang Allah kata baik. Saya juga menilai buruk itu degan apa yang Allah kata buruk.

Dalam bercinta juga demikian.

Kita nak cinta yang Allah redha. Cinta yang Allah senang.

Cinta yang menembus ke syurga.

Bukan cinta yang terhenti sekadar di dunia.

Oleh: Hilal Asyaraf (ms.langitilahi.com)

Categories: Artikel

Ikhtibar dari Keruntuhan Kerajaan Islam Ustmaniyah

Dalam tulisan kali ini saya ingin berkongsi bahan yang ditulis oleh Abul Hasan Husni An-Nadwi di dalam kitabnya “Apa derita bila Islam mundur”. Kitab ini merupakan buku yang amat wajar dimiliki dan dibaca oleh generasi kini. Muqaddimah buku ini ditulis oleh Sayyid Qutb rhm.

Dalam tulisan kali ini saya hanya ingin menyentuh faktor kebangkitan dan keruntuhan Turki yang boleh kita ambil jadikan panduan.

Bangsa Turki di bawa pimpinan Ustmaniyah mempunyai keistimewaan tersendiri yang melayakkan mereka memegang pimpinan ummat Islam Alami.

Ciri-ciri mereka yang menonjol ialah:-

1. Bangsa Turki yang baru bangkit mempunyai semangat untuk berjihad membela Islam. Mereka masih belum terjangkit keruntuhan moral dan sosial seperti yang tersebar di kalangan masyarakat Islam secara umumnya. Bangsa ini sederhana cara hidup dan pemikirannya.

2. Mereka mempunyai keunggulan teratas dalam bidang persenjataan dan kekuatan angkatan perangnya dapat digunakan untuk meluaskan kekuasaan Islam baik dalam bidang material maupun spriritual untuk mempertahankannya dari serangan musuh-musuh. Untuk itu mereka selalu menggunakan meriam-meriam dan senjata-senjata yang termoden pada masa itu. Sehingga mereka mempunyai keunggulan tersendiri dalam bidang persenjataan dan kemiliteran.

3. Daulah Ustmaniyah mempunyai daerah yang strategis sekali untuk memjadi pimpinan antara bangsa. Mereka berada di Semenanjung Balkan. Dengan ini secara automatik mereka dapa mengawasi Eropah dan Asia. Ibukotanya berada di antara Laut Hitam dan Laut Tengah dan penghubung utama antara dataran Asia dan Eropah. Ibunegaranya, Konstantinopel merupakan kota paling strategik dan paling baik untuk dijadikan ibukota dari suatu negara besar yang berkuasa di Eropah, Asia dan Afrika.

Napoleon Bonaparte ada berkata:

‘Aidaikata dunia ini terdiri dari satu kerajaan maka kota Konstantinopellah yang paling utama untuk dijadikan ibukota.’

Faktor Kejatuhan Bangsa Turki

Menurut Abul Hasan An Nadwi, kejayaan Turki tidak kekal lama. Bangsa Turki, seperti bangsa-bangsa lain mulai mengalami fasa kemunduran sesikit demi sedikit. Penyakit lama yang pernah berjangkit pada setiap ummat pun telah berjangkit kepada mereka. Penyakit hasad, saling bermusuhan, para penguasa yang dalam kemewahan, kerosakan moral, korupsi, membiarkan rakyat malas dan pasif. Semua ini berjangkit dengan meluas di kalangan rakyat Turki Ustmaniyah.

Menurut An Nadwi lagi, yang paling parah ialah terbelakangnya mereka dalam bidang persenjataan. Mereka melupakan ayat Allah SWT yang menganjurkan untuk sentiasa bersiapsiaga dalam menghadapi musuh yang mengancam seperti ayat berikut:

Ertinya: Persiapkan untuk mereka sedaya yang mereka mampu seluruh kekuatan dan pasukan kuda yang dapat menakuti musuh-musuh Allah dan kamu.

Dan mereka juga melupakan hadith Nabi SAW yang berbunyi:

Ertinya: Hikmah itu adalah suatu yang hilang yang perlu dicari oleh setiap mukmin. Dimana ia mendapatkannya, maka ia berhak ke atasnya.
Keunggulan dalam bidang persenjataan bagi Turki merupakan sesuatu yang dharuri. Ini kerana kedudukan mereka baik secara politik maupun geografi yang terkepung oleh bangsa Eropah dari semua sudut. Sebenarnya mereka perlu memperhatikan apa yang pernah Amru bin Al Ahs berwasiat kepada Muslimin di Mesir secara langsung, katanya:

Ketahuilah oleh kamu, bahawa kamu sentiasalah hendaknya selalu bersiap siaga disebabkan banyaknya musuh yang ada di sekeliling kamu. Dan hati mereka sentiasa tertumpu kepada kamu dan tempat tinggal kamu.

Setelah zaman berlalu, masyarakat Eropah semakin maju, namun bangsa Turki masih tetap terbelakang, ketinggalan jauh oleh bangsa-bangsa Eropah.

 

Oleh Sdr. Solehuddin Shuib (Pengerusi HALUANSiswa Pusat)

 

 

***Ancaman Aliran Pemikiran Modernisasi***

Hendaklah kita sentiasa sedar bahawa jalan hidup kita ialah Islam, dan pegangan serta perlembagaan hidup kita ialah ajaran al Quran dan Sunnah Rasulullah  s.a.w.

Fahaman Islam yang kita bawa dalam hidup kita adalah berdasarkan fahaman Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan telahpun diikuti oleh para sahabat ridhuanullah ‘alaihim.

Bukan fahaman-fahaman  lain yang disogokkan oleh musuh-musuh Islam ke dalam masyarakat Islam.

Sebagai orang yang beriman kepada Allah s.w.t dan kepada semua prinsip-prinsip (rukun) keimanan, kita mestilah peka dan awas agar kita tidak terjebak ke dalam aliran-aliran faham yang berlawanan /bercanggah dengan Islam.

Satu daripadanya ialah :  Aliran Modernisasi .  Iaitu satu pandangan hidup keduniaan yang mempertuhankan kemodenan (modernity).

Modernisasi sebenarnya mempunyai ciri-ciri dan sifat-sifat yang tersendiri.  Antara sifat-sifat utamanya adalah seperti berikut:

Pertama :  Modernisasi bersifat anti-agama, dan dari segi fikrah Islam, modenisasi menentang Deen, menentang syariat dan menentang sunnah Rasulullah s.a.w.  Bagi seorang modenis, agama dianggap sebagai lambang kekolotan, kemunduran, kebekuan (jumud) dan dianggap mengongkong, membelenggu dan membantutkan perkembangan manusia.

Kedua : Modenisasi juga bersifat ‘sekular’.  Menyingkirkan agama daripada kehidupan manusia atau daripada sebahagiannya.  Agama dijadikan perkara (urusan) individu sahaja dan bukan untuk kehidupan umat dan Negara.  Pemisahan itu telah melahirkan manusia yang melakukan sesuatu perkara atau pekerjaan (perbuatan) bukan lagi kerana Allah , bukan lagi sebagai ibadah kepada Allah, tetapi semata-mata kerana kerja itu sendiri atau kerana tujuan-tujuan yang lain yang bersifat keduniaan.

Ketiga:  Modernisasi juga bersifat ‘humanis’.  Yakni manusia memilik,merancang, melaksanakan sesuatu dan manusialah yang menerima faedah daripada kegiatan hidup  manusia itu sendiri.  Fokus (tumpuan) utama kepada kegiatan hidup manusia di dunia ini sahaja.  Akibatnya manusia tidak lagi memperhambakan diri kepada Allah s.w.t, Pencipta alam ini, tetapi manusia memperhambakan diri  kepada sesama manusia atau sesama makhluk.  Akibatnya lagi manusia menafikan adanya alam ghaib dan perkara ghaib kerana semuanya itu tidak dapat  dikesan / dicapai oleh pancaindera dan rasional manusia (‘aqal dan logik ‘aqal manusia).

Keempat :  Modernisasi juga bersifat kebendaan (materialisma).  Ini merupakan suatu konsep yang menyifatkan bahawa perkara yang wujud ialah benda, tiada yang maujud melainkan benda.  Pandangan hidup seorang ‘materialis’ (orang yang berfaham kebendaan) itu hanya memberi keutamaan kepada kelazatan yang boleh dirasai dan dikecapi melalui pancaindera dan mental atau minda manusia sahaja.  Akibatnya seorang materialis sentiasa menolak perkara-perkara rohaniah dan nilai-nilai rohani atau sekurang-kurangnya mengabaikan perkara-perkara  rohaniah dan nilai-nilai rohani. Kejayaan dalam bidang sains diagung-agungkan.  Kuasa kehendak dan pentadbiran manusia dianggap sebagai kuasa yang dapat menakluki alam (dunia ) ini.

Kelima :  Modernisasi juga bersifat ‘free thinking’ yakni berfikiran bebas dan tidak mahu terikat kepada ‘authority’ atau kewibawaan seseorang yang disebut ‘free thinker’ itu tidak semestinya dia menafikan wujudnya Allah s.w.t tetapi dia tidak mahu terikat kepada penafsiran orang-orang yang ada ‘authority’ (wibawa).  Dalam Islam disebut tafsiran ulama’ muktabar. Bahkan mereka  berfikir sendiri dan membuat tafsiran sendiri mengikut kehendak hawa nafsu sendiri.   Akibatnya, tafsiran dan fatwa ulama’-ulama’ muktabar akan ditolak dan diperkecil-kecilkan atau tidak dihargai.

Di dalam sejarah, telah terbukti bahawa proses modernisasi di negeri-negeri / negara-negara Islam telah bermula apabila jatuhnya pemerintahan Khilafah Uthmaniah di Turki pada tahun 1923 M.  Sejak itu proses modenisasi  menular dan merebak dimulai dengan pembaharuan dan permodenan  yang dilakukan oleh pemerintah pertama bagi Turki moden iaitu Mustafa Kamal Attartuk dan beliau dianggap sebagai reformis modenis yang  telah ternyata  hasil usahanya bukan sahaja  memisahkan agama daripada negara, bahkan lebih jauh daripada itu.  Apa yang dilakukan merupakan proses penghapusan Islam seluruhnya sebagai ‘aqidah dan syariat atau disebut juga sebagai proses ‘De Islamisasi’.

Di dalam Islam ada konsep ‘Islah’ ( اصلاح ) tetapi bukan pembaharuan modernisasi ini.  Konsep Islah bererti berusaha memperbaiki keadaan umat Islam yang telah rosak dan menyeleweng (menyimpang) daripada ajaran al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.  Menyimpang daripada apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w iaitu dengan cara mengajak umat Islam itu kembali kepada  tahap umat Islam dalam generasi awal Islam dahulu, dibawah pimpinan  dan bimbingan  Rasulullah s.a.w.  Atau sekurang-kurangnya  menghampiri tahap dan keadaan generasi tersebut.  BUKAN mengubah ajaran agama atau Deen Islam itu untuk disesuaikan dengan zaman, tetapi manusialah dan umat ini mestilah mengikhlaskan diri mengubah diri untuk disesuaikan diri mereka dengan ajaran Islam yang  bersumberkan daripada al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Menurut kacamata syara’, perubahan diri seseorang bermula dari dalam jiwa  barulah akan berlaku perubahan dan pengislahan  dalam kehidupan.  Ini bertepatan dengan Firman Allah s.w.t :

Bermaksud: “ Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di muka dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tak ada pelindung bagi mereka selain Dia.

(Surah ar Rad : 11)

Kita dituntut untuk menjadi Musleh ( مصلح )  atau reviver yang berusaha sedaya yang termampu untuk menghidupkan kembali  Ruh dan Deen Islam dikalangan umat ini dalam bentuk yang suci bersih daripada bid’ah ( بدعة ), khurafat ( خرافات ) dan sebarang bentuk penyelewengan.  Kita hanya dituntut berusaha  seupaya  mungkin menakala kejayaan dan hasilnya dipulangkan kepada Allah s.w.t.  Allah s.w.t  sahaja yang menentukan natijahnya.

Firman Allah s.w.t :

Bermaksud: “  Syu`aib berkata: “Hai kaumku, bagaimana pikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku daripada-Nya rezki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali.

(Surah Hud : 88)

Bermaksud:  “  dan bahwa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), karena jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa.“

(Surah al An’am : 153)

Berdasarkan kepada ayat tersebut jelaslah bahawa jalan yang benar dan lurus itu hanya satu sahaja iaitu jalan Allah,  manakala jalan-jalan  yang sesat, menyeleweng dan bathil  itu banyak dan bersimpang siur serta bengkang bengkok.  Seperti mana yang  telah diperjelaskan di dalam tafsir “  صفوة التفاسير   “ oleh As Syeikh Muhammad ‘Ali As Shabuni.

Musuh Islam kalangan Yahudi dan Nasrani( اليهود و النصارى ) sudah lama merancang dan berusaha untuk menarik keluar  dan  memutuskan hubungan orang Islam dengan ajaran-ajaran Islam dan sekaligus tunduk dan mengikut telunjuk mereka.  Hal ini telah lama diperingatkan oleh  Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim.

Bermaksud:  “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)”. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu. “

(Surah al Baqarah : 120)

Maksudnya, apabila orang-orang Islam (orang-orang yang beriman) itu mengikut  telunjuk mereka, maka barulah mereka redha dan puashati.

Sayugia disedari bahawa  serangan musuh-musuh Islam  bukan sahaja serangan ganas melalui senjata moden seperti yang telah termaklum berlaku  pada masa ini di Iraq dan Palestin bahkan ada satu lagi serangan yang amat berat kesan dan risikonya iaitu serangan dalam bentuk fikiran atau yang disebut  الغزو الفكرى    (Serangan Pemikiran) yang boleh merosakkan aqidah dan ibadah serta pegangan dan nilai-nilai hidup umat Islam.

Oleh itu kita selaku orang Mukmin perlulah berhati-hati terhadap berbagai aliran pemikiran, samada yang  klasik ataupun yang moden agar kita tidak terjebak dan tidak terperangkap di dalam jaringan  aliran-aliran pemikiran yang menyesatkan dan merosakkan aqidah dan ibadah serta nilai hidup  hakiki umat Islam.   Kita mesti yakin bahawa Islam adalah Islam, Deen Allah s.w.t  tiada label Islam moden dan tiada label Islam kuno. Tiada Islam maju dan tiada Islam mundur.  Kerana Allah s.w.t telah menekankan dalam al Quran :

Bermaksud:  “   Sesungguhnya agama (yang diridhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya.  “

(Surah ali Imran : 19)

Islam itulah yang dibawa, disampaikan, didakwahkan, ditarbiyahkan (dididik) oleh Rasulullah s.a.w kepada umatnya.

Untuk selamat  di dunia dan di akhirat, maka kita tiada pilihan yang lain melainkan memilih Deen Islam dan kita perlu kembali kepada  Madrasah dan  didikan Rasulullah s.a.w.

Sedutan petikan dari Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Hj Omar Hj Salleh, Maahad Tarbiyah Islamiyyah (MATRI) Perkampungan Tunjung, Beseri Perlis.



***Peranan Muslimah Sebagai Daieah*** 

Penglibatan muslimah di dalam gerakan dakwah adalah merupakan sesuatu yang tidak dapat dinafikan lagi. Contoh yang dibuktikan oleh muslimah yang terdahulu seperti saiyidatina Khadijah binti Khuwailid sebagai manusia pertama yang menyahut seruan Iman dan Islam, saiyidatina Aisyah sebagai gedung ilmu dan pusat sumber maklumat, Ummu Ammarah Nusaibah binti Ka’ab yang bermati-matian di medan Uhud dan Sumaiyah Ali Yaasir sebagai orang yang pertama mendapat gelaran syahid adalah bukti yang jelas bahawa peranan muslimah adalah jauh lebih luas dari hanya sekadar beroperasi di dalam rumahnya. 

Fenomena yang mengancam pemikiran ramai manusia dalam memisahkan peranan muslimah di dalam medan perjuangan Islam adalah merupakan sebahagian dari gejala rawathib al jahiliyyah (karat-karat jahiliyyah) dan juga rawathib al isti’mariyah (karat-karat penjajahan) yang begitu dominan di seluruh pelusuk dunia Islam. Akibat dari gejala ini, salah faham terhadap Islam berlaku dan Islam ditohmah sebagai satu ajaran agama yang menindas dan memperlekehkan kaum wanita. 

Sifat Islam sebagai Deen ul Fitrah (agama fitrah) yang datang untuk menjadi panduan kepada manusia samada lelaki mahupun perempuan adalah merupakan satu bukti yang nyata bahawa tanggungjawab sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini dipikul bersama oleh muslimin dan muslimat. Kebanyakan perintah-perintah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah bersifat umum yang merangkumi lelaki dan perempuan dan Islam tidak sama sekali pun membezakan antara mereka dari segi tanggungjawab di atas muka bumi mahu pun pembalasan di akhirat nanti. Setelah kita berusaha untuk membentuk diri kita dengan sesempurna mungkin untuk memikul tanggungjawab ini, setiap individu muslimah mestilah berusaha untuk memanggil ke arah perlaksanaan cita-cita Iman dan Islam tadi ke dalam realiti. Keindahan dan kesempurnaan Islam tidak akan terbukti kalau hanya setakat teori dan cita yang tidak dicernakan ke dalam waqi’ (realiti). Tugas mencernakan ajaran Islam dan mengajak manusia bersama untuk beriman inilah yang dikenali sebagai da’wah. 

Di dalam konteks da’wah, di sana ada 3 marhalah (peringkat) yang mesti dilalui untuk menjamin keberkesanan usaha yang dilakukan. Marhalah2 tersebut adalah marhalah ta’rif (pengenalan), marhalah takwin (pembentukan), marhalah tanfiz (perlaksanaan). Di sini kita akan cuba menghuraikan peranan muslimah sebagai da’ieah dalam mengisi ketiga-tiga marhalah tadi. 

  

1. Marhalah Ta’rif  

Yang dimaksudkan sebagai ta’rif adalah pengenalan dalam konteks penyediaan individu muslimah yang faham, beramal dengan apa yang difahaminya dan seterusnya berjihad dan beristiqamah pula dalam jihadnya. Untuk mengisi tuntutan ini maka hendaklah setiap muslimah tadi berusaha untuk: 

1.1) Melahirkan insan yang bertaqwa kepada Allah azza wa jal dengan pembentukan iman dan aqidah yang benar. Proses ini berlaku apabila muslimah tadi berusaha dan bersungguh dalam ibadat dan hubungannya dengan Allah azza wa jal melalui ibadat dan ketaatan seperti yang telah diwajibkan. 

1.2) Melahirkan insan yg faham akan konsep Iman dan Islam yg menyeluruh sepertimana firman Allah azza wa jal: 

“Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya dan janganlah kamu mengikut jejak-jejak syaitan”. 

( Surah Al Baqarah: 208.) 

1.3) Melahirkan insan yang memiliki as syakhsiyah al islamiyyah (personaliti sebagai seorang Muslim) yg contoh ikutannya adalah Rasulullah SAW. Syakhsiyah ini adalah berbentuk kamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi) dan setiap penda’wah hendaklah menyedari bahawa kita sekarang sedang membawa risalah dan setiap gerak geri kita adalah diperhatikan. Pastikanlah bahawa syakhsiyah kita tadi tidak akan menimbul fitnah terhadap Islam yang hendak kita bawa dan tarbiyyah yang sedang kita lalui. 

2. Marhalah Takwin 

Setelah menjalani proses ta’rif, muslimah hendaklah berpindah pula kepada marhalah takwin. Di dalam marhalah ini mad’u (mereka yang dida’wahkan) hendaklah dibawa mengenali konsep amal jamaie (beramal dan bergerak dalam bentuk jamaah). Islam tidak pernah dan tidak akan dapat ditegakkan oleh individu atau pengasingan diri dari masyarakat. Individu tadi hendaklah memiliki dan mengujulkan intima’ dan iltizam (commitment) yang menyeluruh terhadap Islam, da’wah dan harakah Islamiyyah (gerakan Islam). 

Dalam peringkat ini hendaklah dibentuk sifat masuliyah fardiyah (tanggungjawab) yang tinggi. Masuliyah ini adalah masuliyah yang melahirkan sifat muraqabah (merasakan bahawa Allah sentiasa memerhatikannya) yang akan mengakibatkan individu tadi jujur pada dirinya, jujur pada Allah dan jujur pada perjuangan yang didokonginya. Kita tidak mahu dalam marhalah ini akan timbul permasalahan furu’ (cabang) dibawa menjadi isu yang mengakibatkan kita menjadi golongan al mutasaqitin (golongan yang gugur). 

Dalam marhalah ini keujudan baitul muslim (rumah tangga Islam) sebagai nukleus terpenting dalam gerakan Islam adalah merupakan satu tuntutan. Muslimah berperanan untuk memastikan rumahtangganya hidup dalam suasana Islam dalam semua aspek. Dalam hubungan ini Muslimah berperanan untuk menjadi zaujah as solehah (isteri yang solehah), yang taat dan pendorong utama kepada perjuangan Islam suaminya dan juga berperanan besar untuk memastikan tarbiyatul aulad (pendidikan anak-anaknya) berjalan dalam suasana yang Islamik. 

3. Marhalah Tanfiz  

Marhalah ini adalah marhalah yang terpenting yang merupakan ujian sebenar terhadap commitment seseorang muslimah terhadap pengisian dan kefahamannya terhadap Islam. Islam yang hanya sekadar diteorikan tidak akan mendatangkan sebarang hasil. Dalam marhalah ini, 3 unsur utama yang harus diperhatikan adalah: 

3.1  Al Iman al ‘amiq: Iman yang mendalam. 

3.2. Tanzim ad daqiiq: Penyusunan organisasi gerak kerja yang teratur lagi menyeluruh. 

3.3. Al amal mutawasil: Kerja dan komitmen yang dibuat berterusan dan bukan hanya kerana masa yang tertentu, kawan atau suasana. 

Dalam marhalah ini, muslimah tidak lagi dapat menyendirikan diri untuk membawa risalah Islam. Panduan Al Quran dengan jelas memerintahkan pejuang Islam untuk berada dalam satu saf yang tersusun rapi: 

“Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang berjuang di jalanNya dalam satu saf seolah-olah batu-bata yang tersusun rapi…” (As Saff: 3.) 

Marhalah ini mengajak muslimah untuk keluar di tengah-tengah medan dan bersama mengangkat panji-panji Islam untuk ditegakkan di tengah-tengah kejahilan ummah. Marhalah ini adalah marhalah muwajahah (berdepan) dengan realiti perjuangan da’wah yang akan mengajak kepada pengorbanan yang sebenarnya. Tidak ada di sana sebarang perjuangan yang tidak ada pengorbanan. Pengorbanan dalam da’wah adalah terlalu luas dan banyak bidangnya yang mengajak kita untuk mengurus dan mentadbir diri kita ini dengan sebaik-baiknya. 

Rujukan: Buku Silibus Tarbiah Rumahtangga Dakwah susunan Ustaz Abdullah Thaidi

ใส่ความเห็น

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / เปลี่ยนแปลง )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / เปลี่ยนแปลง )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / เปลี่ยนแปลง )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / เปลี่ยนแปลง )

Connecting to %s

%d bloggers like this: